suria

RM6 Bilion Bagi Bina Sekolah Tahun Ini

TEMERLOH: Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM6 bilion untuk membina sekolah baru pada tahun ini bagi menampung pertambahan jumlah pelajar di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata selain itu, pembinaan sekolah berkenaan juga sebagai persediaan ke arah persekolahan satu sesi pada masa depan.

"Kementerian berusaha memastikan lebih banyak sekolah mengadakan persekolahan satu sesi supaya proses pembelajaran dan pengajaran dapat berjalan dengan lebih efisyen," katanya ketika berucap merasmikan bangunan tambahan bernilai RM2 juta Sekolah Kebangsaan Lebak di sini.

Turut hadir Anggota Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengarah Pelajaran Pahang Datuk Mazlan Mohamad.

Mohd Puad berkata pada masa ini, hanya 8,372 sekolah melibatkan 6,888 sekolah rendah dan 1,484 sekolah menengah kebangsaan daripada 10,000 buah sekolah menengah dan rendah di seluruh negara mengadakan persekolahan satu sesi.

Pelaksanaan secara menyeluruh persekolahan satu sesi itu hanya dapat dicapai jika projek pembinaan sekolah baru dilaksanakan dalam tempoh terdekat, katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran mengalami masalah mendapatkan tapak bagi membina sekolah terutama di kawasan bandar dan negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

"Sebagai contoh, kita sukar mendapat tapak di Selangor kerana pemimpin di negeri itu tidak menyokong pembinaan institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti awam," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain