suria

Lebih 100 Berhimpun Nyatakan Sokongan Pembinaan Kilang Lynas

KUANTAN: Lebih 100 orang termasuk ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang berkumpul secara aman di pantai Teluk Chempedak di sini, pada Isnin bagi menyatakan sokongan terhadap pembinaan kilang memproses nadir bumi oleh syarikat Lynas Corporation Ltd dari Australia.

Pengerusi GPMS Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, perhimpunan itu diadakan sebagai gambaran bahawa bukan semua pihak menolak pembinaan kilang yang memberi manfaat terutama dari segi pelaburan kepada negara.

"Projek Lynas merupakan satu projek yang selamat, tidak perlu warga Kuantan bimbang kerana ada radiasi yang baik dan ada yang tidak," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata mereka yang menolak projek berkenaan sebenarnya tidak menerima maklumat dengan tepat.

Katanya GPMS Pahang akan mengadakan aktiviti penerangan kepada masyarakat khususnya golongan pelajar supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu.

Kilang bernilai RM700 juta yang sedang dibina di kawasan perindustrian Gebeng di sini menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Kerajaan Malaysia sebelum ini telah menjemput panel pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang difahamkan kini berada di bandar ini untuk menyiasat isu kesihatan dan keselamatan berhubung projek pembinaan kilang tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain