suria

Kementerian Penerangan Anjur Sambutan Hari Seniman

KUALA LUMPUR: Bagi mengenang dan menghargai hasil karya Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) akan menganjurkan Sambutan Hari Seniman 2011 selama sebulan yang bermula Ahad.

Menurut Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara KPKK Hesmel Faznee Ahmad Faizal, objektif sambutan selain menghargai sumbangan P.Ramlee, ia juga bertujuan meraikan dan merapatkan hubungan antara seniman dengan masyarakat.

"Sambutan Hari Seniman ini juga diadakan bertujuan untuk memberi inspirasi kepada penggiat dan kumpulan seni. Bukan semata-mata untuk mengangkat P.Ramlee tetapi melihat hasil karya P. Ramlee yang mengabungkan pelbagai elemen seni menyebabkan P.Ramlee ini dilihat menjadi pemangkin kepada seni yang ada.

"Allahyarham seniman agung itu juga telah berjaya menyatupadukan pelbagai elemen seni," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sambutan Hari Seniman 2011 akan bermula dengan Majlis Sepetang Bersama Seniman yang akan dirasmikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim di Kompleks Kraf, Jalan Conlay di sini pada Ahad.

Dalam sambutan itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh 12 agensi di bawah kementerian dan juga beberapa persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara aktiviti yang akan diadakan ialah pameran seniman agung Tan Sri P. Ramlee, program imbas kembali seniman agung, malam penghargaan industri filem dan program merakyatkan filem oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Pameran buku berkaitan seniman oleh Perpustakaan Negara, majlis bacaan yaasin dan tahlil serta bicara tokoh seniman oleh Jabatan Arkib Negara manakala Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara pula dengan pementasan teater bangsawan Alang Buana, katanya.

Selain itu, katanya, Jabatan Penerangan pula akan mengadakan program Grafiti 1Malaysia, pameran getaran jiwa P. Ramlee oleh Balai Seni Lukis Negara, dan Istana Budaya dengan muzikal kenangan mengusik jiwa 60an, laman santai seniman serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula akan menyiarkan rancangan khas P. Ramlee.

Beliau berkata sepanjang sambutan itu, pelbagai aktiviti lain turut disediakan oleh beberapa persatuan seperti karnival rakyat bersama seniman oleh Persatuan Penulis Skrip Malaysia (Swam), karnival P. Ramlee 1Malaysia oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanahair (Papita) dan pertandingan nyanyian lagu-lagu P.Ramlee oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Turut disediakan ialah pertunjukan aksi lagak ngeri Hari Seniman oleh Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima); getaran jiwa seniman 2011 oleh Gabungan Pelukis-pelukis Semalaysia (GAPS); malam karyawan di lebuh seni oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan); festival animasi oleh Persatuan Animasi Malaysia (Animas) dan acara tiru gaya seniman dan seniwati legenda oleh Persatuan Penyiar Kebangsaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain