suria

Serangan Israel Tak Lemahkan Semangat Krew Kapal Bantuan Gaza

EL-ARISH: Walaupun menghadapi pelbagai ancaman, semangat tiga kru termuda kapal kargo MV Finch yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza, tidak pernah luntur.

Malah komitmen Ketua Pegawai Mohd Jaffery Ariffin, 23, dan dua warga India, Pal Satya Prakash, 22, dan Sharma Chandan, 20, untuk meneruskan usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza amat tinggi.

Bagi Mohd Jaffery, anak sulung daripada empat beradik, walaupun belum setahun bekerja dalam industri perkapalan, pengalamannya berhadapan dengan serangan tentera laut rejim Yahudi pada Isnin lepas menjadikannya lebih matang dalam menjalankan tugas, seperti membuat keputusan penting dalam situasi genting.

"Saya tidak gentar untuk membantu kapten jika mendapat tugasan ke Gaza atau pertembungan dengan Israel lagi kerana apa yang berlaku hari itu telah menunjukkan gambaran sebenar siapa mereka, dan saya tidak takut," katanya kepada BERNAMA.

Lulusan Akademi Laut Malaysia (ALAM) itu berkata jika selama ini kekejaman rejim Zionis hanya dilihat di televisyen, kini beliau sendiri melihat akan sifat mereka yang tidak berperikemanusiaan.

Kapal 'MV Finch' milik Malaysia, yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, telah dihalang oleh dua bot tentera laut Israel, yang melepaskan tembakan amaran di perairan berhampiran Rafah, awal pagi Isnin waktu Malaysia.

Walaupun cuba disekat tentera Israel, kapal kargo itu berjaya melepasi kawalan ketat rejim zionis bagi memasuki perairan Palestin pada hari yang sama.

Bagi Chandan, yang baru bekerja tujuh bulan lalu, walaupun demam semasa kejadian itu, dia tidak langsung takut, malah akan menceritakan pengalamannya kepada keluarga dan masyarakatnya mengenai keganasan Israel itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain