suria

Permintaan Semua Parti Komponen BN Sabah Akan Dipertimbangkan - Musa Aman

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata semua permintaan parti komponen BN negeri termasuk mahu bertanding di kawasan tertentu pada pilihan raya umum ke-13 akan dipertimbangkan sewajarnya.

Musa yang juga Ketua Menteri berkata adalah perkara lumrah untuk setiap parti komponen BN mengemukakan permintaan khusus dan semua permintaan akan dipertimbangkan selepas mengadakan perbincangan dengan semua parti komponen.

"Jangan risau...kita akan selesaikan satu persatu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup semalam bahawa PBRS akan mempertimbangkan kedudukannya dalam BN berikutan kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru secara terbuka agar kerusi Parlimen Pensiangan, yang disandang oleh Kurup, diberikan kepada Umno pada pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Zahid berkata demikian pada majlis perasmian persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pensiangan pada Sabtu lepas.

Musa berkata BN akan sentiasa mencari kesepakatan bersama dalam semua perkara bagi mengukuhkan kedudukannya untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 nanti. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain