suria

Kementerian Komited Tingkat Mutu Perkhidmatan Kesihatan - Rosnah

ALOR SETAR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat di negara ini, kata Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata bagi mencapai hasrat itu, KKM berusaha menambah baik perkhidmatan melalui pemantapan penyalurannya di setiap negeri.

Antara usaha yang dijalankan termasuk aktiviti peningkatan kualiti, latihan berterusan dalam bidang teknikal dan kemahiran insaniah, fasiliti hospital mengikut keperluan semasa, menyediakan peralatan perubatan termoden serta mengembangkan pecahan kepakaran.

Contohnya, KKM akan mengembangkan 15 kepakaran asas dan 28 pecahan kepakaran sedia ada di Hospital Sultanah Bahiyah, kata Rosnah sewaktu berucap sempena lawatan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah ke hospital berkenaan pada Ahad.

Beliau berkata bagi bidang perbidanan dan sakit puan, hospital itu menyediakan pecahan kepakaran feto-maternal, perubatan reproduktif serta gynae-onkoloji.

Bagi pembedahan pula, cawangan kepakaran yang disediakan ialah pediatrik, kolorektal, hepatopankreatobiliari, plastik, uroloji dan neurosurgeri.

Katanya, Hospital Sultanah Bahiyah mempunyai 3,122 staf iaitu 123 pakar, 480 pegawai perubatan, 1,162 jururawat dan bakinya termasuk profesional yang memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Rosnah berkata terdapat sembilan hospital umum dan 10 hospital swasta di Kedah, manakala perkhidmatan kesihatan primer disalurkan melalui 59 klinik kesihatan, 224 klinik desa serta sembilan klinik kesihatan ibu dan anak.

Selain itu, katanya, terdapat 323 klinik perubatan dan 51 klinik pergigian swasta yang memberi perkhidmatan kepada rakyat Kedah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain