suria

Dua Suspek Ditahan Berhubung Kematian Penganggur

KUALA TERENGGANU: Polis menahan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes memukul seorang penganggur hingga mati kerana dipercayai mencuri besi di Kampung Sungai Ular, Kuala Berang Khamis lalu.

Suspek pertama merupakan seorang pemandu lori yang berumur 27 tahun ditahan di sebuah warung di Bukit Ajil, Kuala Berang kira-kira jam 4.50 petang Sabtu, manakala seorang lagi suspek yang bekerja sebagai buruh berusia 21 tahun ditahan 10.00 pagi tadi di rumahnya di Kampung Tajin, Kuala Berang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner (ACP) K. Manoharan berkata dengan tertangkapnya dua suspek itu polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh tersebut.

"Melalui siasatan yang dilakukan, kita telah mengenal pasti beberapa lagi suspek yang terlibat dan akan melakukan beberapa lagi tangkapan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Ahad.

Menurut Manoharan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian pada 10 pagi Khamis lalu, polis menemui seorang penganggur dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan parah di beberapa bahagian badannya dipercayai dibelasah orang kampung setelah mangsa ditangkap kerana dikatakan mencuri besi di kampung berkenaan.

Mangsa yang berusia 31 tahun dan berasal dari Kampung Kuala Akob, Kuala Berang itu bagaimanapun meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah kira-kira 12.50 tengah malam akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Sementara itu dalam kes lain, dua lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes memukul seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada petang Isnin lepas di Jalan Jerangau-Jabor, Dungun, pada Ahad menyerah diri di Balai Polis Dungun kira-kira 10.30 pagi tadi.

Kedua-dua mereka yang berumur 46 tahun dan 17 tahun yang berasal dari Kelantan merupakan bapa dan adik kepada suspek yang berumur 19 tahun yang ditahan Jumaat lalu.

Manoharan berkata setakat ini empat orang suspek telah ditahan berhubung kes berkenaan dan polis masih mencari beberapa lagi suspek bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain