suria

Kerajaan Tidak Harus Tolak Ansur Terhadap Pihak Yang Mempolitikkan Agama - Soi Lek

KUALA LUMPUR: MCA mahu kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab menyiarkan artikel berbaur perkauman dalam sebuah akhbar harian tempatan baru-baru ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata polis perlu melakukan siasatan terperinci mengenai latar belakang berita yang tersiar dalam akhbar itu yang dikatakan melibatkan pihak tertentu yang mahu menggunakan agama demi kepentingan politik mereka.

Jika laporan itu didapati tidak berasas, beliau berkata pihak yang bertanggungjawab di akhbar berkenaan perlu dikenakan tindakan digantung sebagai amaran bahawa kerajaan mengambil berat terhadap pihak yang sengaja memainkan isu agama yang boleh mencetuskan huru-hara dan ketegangan dalam negara ini.

"Kalau siasatan polis mendapati laporan itu adalah benar, maka pihak yang bertangggungjawab termasuklah mana-mana parti politik yang sengaja memperalatkan agama demi kepentingan politik mereka dan boleh mencetuskan huru-hara dan suasana tegang di Malaysia, perlu dikenakan tindakan.

"Kita harap dalam isu ini, kerajaan tidak seharusnya bertolak ansur dalam menegakkan keadilan dan menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa perjuangan politik tidaklah seharusnya memperalatkan agama," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Sementara itu, Dr Chua berkata MCA akan menandatangani memorandum kerjasama (MOC) dengan tujuh universiti di Taiwan sebagai usaha membantu kerajaan mencapai hasrat meningkatkan bilangan rakyat Malaysia yang menerima pendidikan dalam bidang vokasional.

Beliau berkata program itu akan dijalankan bersama dengan Universiti Tunku Abdul Rahman, Kolej Tunku Abdul Rahman dan Kojadi. Program itu dijalankan secara berkembar dan pelajar akan mengikuti pengajian di Malaysia dan Taiwan dengan kos pengajian dianggar RM12,000 setahun.

"Kita juga nak berikan gambaran dan persepsi masyarakat khususnya masyarakat Cina yang menganggap aspek pendidikan teknikal tidak mempunyai peluang yang cerah khususnya dalam soal pekerjaan dan gaji. "Persepsi ini adalah salah. Sebenarnya peluang pekerjaan adalah lebih cerah, potensinya adalah lebih baik. Dengan transformasi ekonomi yang giat dijalankan, peluang pekerjaan memang banyak untuk orang yang mahir," katanya.

Beliau berkata penglibatan masyarakat Cina dalam bidang vokasional amat rendah iaitu kira-kira satu peratus daripada 86,000 yang mengikuti bidang itu.

Program pendidikan itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan akan datang dan antara bidang pengajian yang dipilih ialah teknologi maklumat, fesyen dan pertanian, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain