suria

Tuanku Mizan Mahu Pensyarah Kekalkan Pengajaran Berkualiti Tinggi

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan semua pensyarah di negara ini supaya meneruskan budaya pengajaran berkualiti tinggi dalam membantu negara menjadi antara 10 kelompok terbaik di dunia dalam aspek inovasi dan kreatif.

Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda mahu semua pensyarah memajukan budaya inovasi dan kreativiti di dalam universiti masing-masing bagi membantu untuk mencapai hasrat serta cita-cita berkenaan.

"Dengan pencapaian sedemikian, universiti kita dan negara kita akan dipandang mulia dan dihormati," titah Seri Paduka Baginda pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-74 di sini, Khamis.

Tuanku Mizan yang juga Canselor UiTM turut merasmikan Dewan Agong Tuanku Canselor di sini yang pertama kali digunakan untuk istiadat konvokesyen kali ini, membabitkan 15,701 graduan dari seluruh negara.

Pada istiadat itu, Seri Paduka Baginda juga menyampaikan watikah pelantikan kepada dua orang Pro-Canselor UiTM yang baru iaitu Tan Sri Dr Salehuddin Mohamed dan Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid.

Dalam titahnya, Tuanku Mizan melahirkan rasa sukacita dengan penubuhan Arshad Ayub Graduate Business School (AABGS) yang akan meletakkan UiTM dalam peta dunia melalui tawaran pengajian peringkat sarjana terbaik antarabangsa.

Sebagai permulaan AAGBS akan bekerjasama dengan dua buah institusi tersohor di dunia iaitu Insead Business School dan Kets de Vries Institute di Perancis bagi menubuhkan Pusat Kepimpinan yang akan melatih pemimpin industri dalam negara menggunakan tenaga pengajar dari seluruh dunia.

Kepada semua graduan, Tuanku Mizan berharap pencapaian mereka akan mendorong para graduan untuk terus berusaha menggapai kejayaan yang lebih tinggi.

"Beta yakin apabila ramai rakyat Malaysia berpelajaran serta berilmu tinggi, mereka akan menjadi lebih bijaksana dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan.

"Dengan itu juga negara kita akan terus melangkah menjadi sebuah negara maju dengan lebih yakin dan berani," titah baginda.

Pada konvokesyen kali ini, sebanyak 21 sidang akan berlangsung di kampus Shah Alam, Perak, Terengganu, Sarawak dan Perlis. -BERNAMA

Artikel Lain