suria

Malaysia Akan Hantar Delegasi Ke Austria, Jerman Pelajari Sistem Vokasional

PARIS: Malaysia akan menghantar delegasi ke Austria dan Jerman untuk mengkaji dan mempelajari sistem pendidikan vokasional yang maju di kedua-dua negara Eropah tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata negara-negara Eropah sememangnya lebih ke depan dalam mengaplikasi inovasi dan krevativiti dalam sistem pendidikan mereka.

"Kita mahu tengok apa yang boleh kita pelajari (mengenai sistem pendidikan vokasional)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini Rabu pada akhir lawatannya ke Paris, Perancis dan terdahulu Copenhagen, Denmark.

Muhyiddin menyifatkan penyertaan Malaysia ke persidangan antarabangsa seperti Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah (ASEMME) sebagai penting kerana ia membolehkan Malaysia menjalin hubungan strategik dengan negara-negara Eropah untuk manfaat negara.

"Memang penting bagi kita jalinkan hubungan ini untuk dapat kita adaptasikan (sistem terbaik untuk penambahbaikan sistem pendidikan) dengan keadaan di Malaysia, dengan mungkin kita perlu sesuaikan dengan konteks negara kita," katanya.

Pada ASEMME di Copenhagen, Muhyiddin telah menyampaikan ucapan pada sidang pleno bertajuk 'Mengendalikan Perniagaan dan Industri Dalam Pendidikan' yang berlangsung di bangunan bersejarah Axelborg Hall.

Muhyiddin berkata kerajaan telah merancang pelan transformasi pendidikan yang besar di mana sistem pendidikan vokasional negara akan dirombak supaya ia menjadi pilihan sama penting dalam bidang akademik.

Rombakan aliran vokasional itu antaranya melibatkan kurikulum, persijilan, tenaga pengajar dan pendekatannya iaitu lebih kepada praktikal berbanding teori, katanya.

Pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris pula, Muhyiddin yang turut berucap telah berkongsi dengan negara anggota tentang pencapaian sistem pendidikan negara.

Katanya beberapa menteri dan ketua delegasi ke mesyuarat tersebut yang ditemui beliau telah memuji ucapannya.

Beliau berkata kebanyakan peserta dari negara membangun memberitahu beliau bahawa pencapaian bidang pendidikan di negara mereka tidak semaju Malaysia.

"Pandangan pimpinan pendidik di peringkat antarabangsa terhadap Malaysia amat baik sekali," katanya.

Muhyiddin akan berlepas pulang ke tanah air pada Khamis.- BERNAMA

Artikel Lain