Bukan Jakim Siasat Dakwaan Jadikan Kristian Agama Rasmi Negara:Jamil Khir - Semasa | mStar

Bukan Jakim Siasat Dakwaan Jadikan Kristian Agama Rasmi Negara:Jamil Khir

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin menjelaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat dakwaan usaha pihak tertentu menjadikan Kristian agama rasmi negara.

Sebaliknya beliau berkata perkara itu, yang melibatkan agama bukan Islam serta keselamatan negara, diuruskan oleh pihak berkuasa keselamatan termasuk polis.

"(Peranan) Jakim hanya untuk (menjaga urusan) agama Islam. Jakim tidak menjaga agama bukan Islam. Kalau berkaitan dengan hendak tukar agama, (itu tanggungjawab) pihak keselamatan.

"Jakim tiada hak untuk marah dan sebagainya...kerja-kerja untuk siasat (perkara ini) dan sebagainya...(biar) polis yang buat siasatan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat 10 pensyarah dari Universiti Al-Azhar yang akan berkhidmat di Malaysia, di pejabatnya di sini Isnin.

Akhbar baru-baru ini melaporkan majlis pertemuan tertutup 100 paderi seluruh negara di Pulau Pinang dan antara lain dikatakan merangkumi ikrar menjadikan Kristian agama rasmi Persekutuan.

Sementara itu, Jamil Khir berkata beliau masih meneliti nama-nama calon yang akan menggantikan Allahyarham Datuk Ilani Isahak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Antara Agama Kebangsaan.

"Ada beberapa nama yang boleh diketengahkan tetapi kita hendak mereka yang dapat memahami tugas sebagaimana Datuk Ilani lakukan kerana (jawatankuasa ini) terdiri daripada pelbagai bangsa dan anutan agama.

"Kalau tersilap pilih, kita bimbang akan wujud sensitiviti. Kita akan teliti dan buat keputusan nanti," katanya.

Ilani meninggal dunia pada Februari lepas di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana menghidap kanser payu dara.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Neymar terus kekal di PSG?