suria

Polis Belum Dapat Kesan Lelaki Akui 'Sultan Sulu'

KOTA KINABALU: Siasatan mengenai kes seorang rakyat Malaysia yang menggelarkan dirinya "Sultan Sulu" belum selesai kerana polis tidak dapat mengesan beliau untuk mendapatkan keterangan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis gagal mengesan Datu Mohd Akjan Ali Muhammad di Sabah melalui alamat terakhir beliau yang diketahui.

"Masalahnya kita masih nak mengesan dia, dia tidak ada di Sabah dan tidak ada di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan khas pegawai awam Polis Diraja Malaysia sempena Hari Polis ke-204 di sini Khamis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar.

Hamza berkata polis akan meneruskan usaha mengesan Datu Mohd Akjan melalui kerjasama Interpol dan juga pihak berkuasa di negara-negara Asean.

Katanya polis juga memerlukan keterangan daripada beberapa individu lagi untuk melengkapkan siasatan itu.- BERNAMA

Artikel Lain