suria

Nenek Diarah Bela Diri Tuduhan Edar Dadah

SHAH ALAM: Seorang warga emas berusia 63 tahun dari India yang mendakwa dirinya ditawarkan peluang pekerjaan di negara ini, diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan mengedar dadah ketamin, dua tahun lalu.

Tertuduh, Fazila Bee Abdul Kareem dilihat mengesat air matanya apabila mendengar keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Noor Azian Shaari pada Khamis.

Noor Azian yang telah mendengar keterangan enam saksi pendakwaan, menetapkan tertuduh mula membela diri pada petang Khamis dan Jumaat selepas lima representasi yang dihantarnya kepada Jabatan Peguam Negara ditolak.

Fazila yang berasal dari Chennai, India didakwa mengedar 2.264 gram ketamin pada pukul 2.30 petang, 13 Februari 2009 di kaunter pemeriksaan Kastam A, unit khas pemeriksaan penumpang 1, balai ketibaan antarabangsa, terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam DiRaja Malaysia, Naziah Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam K. A. Ramu.

Berdasarkan keterangan pada perbicaraan yang bermula Isnin lalu, dadah tersebut disembunyikan di bahagian dinding beg beroda warna kelabu yang dibawa oleh tertuduh.

Tertuduh diarahkan untuk menjalani pemeriksaan selepas seorang pegawai kastam berasa curiga dengan ketebalan dinding beg berkenaan, dan wanita bertubuh kecil itu kemudiannya telah menyerahkan kunci yang dapat membuka mangga pada beg itu.

Artikel Lain