suria

Pendidikan Berkualiti Matlamat Utama Kerajaan - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Matlamat utama kerajaan ialah untuk menjadikan pendidikan berkualiti sebagai landasan bagi melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata matlamat itu cukup penting dalam usaha untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi yang memerlukan sejumlah besar tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

"Peluang biasiswa yang disediakan kerajaan selain menunjukkan keprihatinan untuk membangunkan keupayaan generasi muda, ia juga dapat memberi kesempatan kepada pelajar untuk terus menyerlahkan potensi diri masing-masing," katanya pada majlis penyampaian Biasiswa Nasional 2011 di sini pada hari Selasa.

Muhyiddin berharap semua penerima biasiswa itu dapat menggunakan peluang keemasan itu untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka di dunia.

"Tingkatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang yang diceburi agar ia menjadi wahana utama dalam pembentukan modal insan yang berkualiti seterusnya menyumbang kepada peningkatan daya saing negara," katanya.

Pada majlis itu Muhyiddin turut menyampaikan Surat Tawaran Biasiswa Nasional 2011 kepada 30 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka yang diiktiraf kerajaan dalam bidang pilihan masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain