suria

Pasar Komuniti Bakal Dibina Di Seluruh Negara

BERA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membina Pasar Komuniti atau nama singkatan Pakar di seluruh negara secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai permulaan, sebanyak 20 buah pasar yang setiap satu menelan kos RM2 juta akan dibina tahun ini.

Beliau berkata tapak bagi pasar tersebut sudah pun dikenal pasti dan kini dalam proses menunggu keluluan Pihak Berkuasa Tempatan.

"Pakar dibina bagi membolehkan peniaga serta penjaja yang berniaga di pasar tani serta pasar malam dapat berniaga di dalam satu kawasan bangunan yang serba lengkap dan moden.

"Pasar ini akan dilengkapi dengan gerai jualan basah dan kering selain mempunyai ruang pejabat pengurusan, surau, tandas, tapak letak kereta, gerai makan dan lain-lain kemudahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat dan Karnival Kafa anjuran Umno bahagian Bera, Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri Pahang dan badan kerajaan di sini Ahad.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan pinjaman RM60,000 kepada pemilik kedai dan pengusaha bengkel yang premis mereka ditukar baru di seluruh negara.

Beliau yakin usaha kerajaan untuk menaik taraf kedai dan bengkel sedia ada berupaya memajukan lagi perniagaan pengusaha tersebut.

"Sebagai contoh ada kedai runcit yang berwajah baru telah meningkat pendapatannya kerana ia menjadi daya tarikan pembeli.

"Sebelum ini kedai terbabit hanya berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan tetapi meningkat hingga RM4,000 dan lebih setelah bertukar wajah," katanya yang menyasarkan sekurang-kurangnya 500 buah kedai runcit sedia ada akan diganti baru sebelum akhir tahun ini.- BERNAMA

Artikel Lain