suria

Kerajaan Selangor Yakin Rundingan Air Capai Keputusan Positif

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor yakin dapat menyelesaikan isu penyusunan semula industri air negeri itu melalui perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri yakin perbincangan yang sedang berjalan itu akan membawa kepada keputusan positif dan memberi manfaat kepada rakyat serta menggalakkan lagi pertumbuhan industri.

Beliau berkata kerajaan Selangor menyedari kebimbangan pemegang-pemegang bon air susulan laporan bahawa bon mungkin menghadapi penurunan rating sekiranya perbincangan penyusunan semula industri air tidak diselesaikan.

"Penyelesaiannya menggunakan pendekatan holistik dengan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pemegang-pemegang saham," katanya dalam satu kenyataan media di sini Isnin.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri sedang menantikan jawapan dan maklum balas daripada Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau untuk menyelesaikan segera rundingan itu dalam tempoh terdekat.

Mengenai laporan yang mengatakan Selangor akan mengalami krisis kekurangan bekalan air, Abdul Khalid berkata beliau telah meminta Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan kajian dan melalui data yang diperoleh, pihaknya yakin bahawa negeri itu mempunyai bekalan air mentah serta bersih yang mencukupi dan berada pada paras normal.

Selain itu, beliau berkata LUAS juga telah mengenal pasti pusat-pusat rawatan air serta loji yang masih belum digunakan secara optimum yang menjadi punca kepada kekurangan bekalan air.

"Laporan LUAS jelas menerangkan bekalan air mentah dan bersih mencukupi tetapi kapasiti paip yang bermasalah. Masalah ini sepatutnya ditangani oleh syarikat konsesi bagi memenuhi permintaan pengguna," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain