PDRM Dan SKMM Cari Individu Yang Memuat Naik Sebahagian Lagi Klip Video Seks - Semasa | mStar

PDRM Dan SKMM Cari Individu Yang Memuat Naik Sebahagian Lagi Klip Video Seks

KUALA LUMPUR: Polis telah melancarkan siasatan bagi mengesan individu yang memuat naik sebahagian lagi rakaman klip video hitam putih aksi seks melibatkan individu mirip pemimpin pembangkang pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata siasatan polis mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dimulakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak lama selepas berita mengenai klip video aksi seks itu tersebar di internet.

"Sehingga kini kita masih belum kenal pasti identiti mereka yang memuat naik klip itu," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini Khamis.

Ditanya sama ada polis telah menerima laporan berhubung penyiaran klip terbaru itu, Khalid berkata walaupun sehingga kini tiada laporan polis dibuat mengenainya tetapi polis masih boleh menjalankan siasatan.

"Tidak semestinya laporan perlu dibuat. Siasatan masih akan dijalankan. Perkara yang paling penting adalah mencari siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini," katanya.

Semalam heboh diperkatakan mengenai penyiaran sebahagian lagi rakaman video seks dengan durasi 47 saat yang dikatakan melibatkan individu mirip pemimpin pembangkang yang telah dimuat naik di internet antaranya di laman web perkongsian video disukai ramai YouTube and beberapa blog.

Pada 4 April lepas, satu klip video berdurasi yang sama juga dipercayai melibatkan individu yang sama tersebar luas di internet.

Khalid ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan klip video pertama itu, berkata pihak pendakwaan telah meminta pegawai penyiasat untuk menyiasat dengan lebih terperinci daripada beberapa sudut lagi.

"Pihak pendakwaan melihat lebih terperinci daripada penyiasat. Kami tidak dapat nyatakan bila ia (siasatan) akan siap"," katanya.

Katanya ia adalah proses biasa dalam sesuatu siasatan apabila ada individu yang akan dipanggil memberi keterangan atau dipanggil semula untuk beberapa kali bagi membantu siasatan.

Pada 21 Mac lepas, rakaman video seks yang dikatakan melibatkan individu mirip pemimpin pembangkang dipertontonkan kepada beberapa wakil media oleh pihak yang menggelarkan diri "Datuk T" di sebuah hotel di sini.

Misteri "Datuk T" terungkai apabila Datuk Shazryl Eskay Abdullah bersama bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Tamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim mengaku mereka bertanggungjawab di atas penayangan video tersebut dan "Datuk T" merupakan singkatan "Datuk Trio".

Penayangan video itu menyebabkan Anwar membuat laporan polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Pasangan Suami Isteri Dituduh Edar Dadah

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain