suria

Kementerian Minta Kerajaan Negeri Kerjasama Dengan Pemaju Jayakan Skim Rumah Pertama

SHAH ALAM: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meminta semua kerajaan negeri supaya bekerjasama dengan pemaju bagi membina rumah mampu milik dalam usaha menjayakan Skim Rumah Pertama yang dilancarkan pada 8 Mac lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Lajim Ukin berkata kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menawarkan tanah milik mereka kepada pemaju untuk membina rumah di bawah skim berkenaan dengan syarat kosnya tidak melebihi RM220,000.

"Selain menawarkan tanah, insentif seperti menawarkan kemudahan asas termasuk jalan raya, air dan elektrik serta bayaran premium minima juga boleh diberikan kepada pemaju untuk menjayakan projek perumahan itu," katanya ketika merasmikan Ekspo Hartanah dan Gaya Hidup Bumi, di sini, Jumaat.

Skim Rumah Pertama itu bertujuan membantu golongan muda yang baru bekerja dan berpendapatan tidak lebih daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah pertama mereka dan mendapat pembiayaan sehingga 100 peratus.

Lajim berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) misalnya, akan memulakan usahasama membina rumah untuk skim berkenaan di atas tanah milik mereka dengan kerjasama pemaju dalam tempoh enam bulan lagi.

Beliau berkata beberapa tanah milik DBKL telah dikenal pasti dan pemaju terbabit akan memilih kawasan paling sesuai untuk membina 4,000 unit rumah di bawah skim berkenaan.

Mengulas mengenai harga rumah untuk skim itu yang ditetapkan tidak melebihi RM220,000, beliau berkata ia bagi mengelakkan timbul bebanan untuk pembeli membuat bayaran bulanan yang tinggi.

"Kita berpendapat sekiranya harga rumah yang ditawarkan terlalu tinggi ia akan menyebabkan tanggungan yang kritikal dan bimbang menimbulkan isu nanti," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain