suria

Dua Rakyat Malaysia Akan Dibicarakan Di Guantanamo

KOTA BAHARU: Dua rakyat Malaysia, yang sedang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006, akan didakwa tidak lama lagi kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul Wayne Jones, berkata Washington masih belum memutuskan sama ada akan mendakwa mereka di mahkamah biasa atau tribunal tentera, yang sering digunakan dalam situasi masa perang.

Jones, yang berada di sini bagi lawatan dua hari ke Kelantan, bagaimanapun berkata tiada kemungkinan untuk mereka dihantar pulang ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan dan menurutnya proses pendakwaan akan bermula dalam beberapa bulan ini.

"Kedua-dua rakyat Malaysia masih berada dalam kategori, apa yang kami percaya, ada kes untuk mendakwa mereka. Terdapat banyak perdebatan di Washington mengenai bagaimana untuk kami melakukan pendakwaan itu dan cara berbeza untuk pendakwaan," katanya.

Mohamad Nazir Lep, yang menggunakan nama samaran seperti `Bashir Lap', 'Lilie', dan Mohd Farik Amin, juga dikenali sebagai 'Yazid Zubair', dikaitkan dengan Al-Qaeda, dan pertubuhan militan Asia Tenggara, Jemaah Islamiyah (JI).

Kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian keganasan pada 2003, di mana Mohamad Nazir ditahan di Thailand dan Mohd Farik di Kemboja.

Mereka dipindahkan ke Guantanamo pada 4 September, 2006.

Risikan Amerika Syarikat percaya mereka terbabit dalam komplot bunuh diri melibatkan rampasan pesawat penumpang komersil dalam serangan gelombang kedua selepas kejadian 11 September, di Los Angeles.

Pada awalnya, kedua-dua mereka ditahan sebagai suspek pengganas tetapi sejak 2006, mereka telah diklasifikasikan sebagai "tahanan bernilai tinggi" bersama-sama 16 yang lain di Teluk Guantanamo. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain