suria

Keputusan Sama Ada Anwar Dipanggil Bela Diri Kes Liwat 16 Mei

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Selasa menetapkan 16 Mei ini untuk menyampaikan keputusannya sama ada untuk memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri atau membebaskannya berhubung pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden dan peguam bela Karpal Singh dan S.N.Nair selesai mengemukakan hujahan masing-masing pada akhir kes pendakwaan.

Mohamed Yusof yang menyambung hujahannya hari ini memberitahu mahkamah bahawa saksi utama Mohd Saiful adalah seorang saksi yang berwibawa.

Lagipun, katanya pihak pendakwaan bukan setakat mengemukakan keterangan untuk menyokong kes prima facie tetapi telah mengemukakan kes tanpa sebarang keraguan yang menunjukkan bahawa tertuduh yang melakukan perbuatan itu dan bukannya orang lain.

"Keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah lebih daripada mencukupi untuk mensabitkan tertuduh," kata Mohamed Yusof.

Beliau turut menyangkal kenyataan seorang daripada peguam bela Anwar, Ram Karpal Singh bahawa saksi kelima pihak pendakwaan iaitu ahli kimia Dr Seah Lay Hong bersikap berat sebelah, cuba mengelak dan memihak kepada pihak pendakwaan.

"Ini menjelaskan tingkah laku beliau (Mohd Saiful) dan tahap pemikirannya sebelum beliau memutuskan untuk membuat laporan polis dua hari selepas kejadian liwat itu didakwa berlaku," kata Mohamed Yusof.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Sementara itu, Karpal dalam hujahan balasnya berkata Mohd Saiful bukan seorang saksi yang berwibawa kerana beliau tidak berusaha untuk mendapatkan bantuan segera dengan pihak-pihak di kondominium itu.

"Beliau telah menghadiri majlis di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat dan satu lagi majlis di rumah Anwar. Pihak pendakwaan telah gagal memberikan penjelasan melalui saksi-saksi mereka mengenai kenapa mangsa tiba-tiba mengubah fikiran dengan membuat laporan itu," kata Karpal.

Beliau berkata selang masa itu sepatutnya dijelaskan sekiranya pihak pendakwaan telah memanggil semua orang yang telah ditemui oleh Mohd Saiful sebelum beliau membuat laporan pada 28 Jun, 2008.

Semasa pemeriksaan utama, Mohd Saiful memberitahu mahkamah yang beliau telah bertemu dengan Mumtaz, Mohd Ezam Mohd Nor, Tuah Mohd Alip dan Mohd Rahimi Osman pada 27 Jun,2008.

Karpal turut membangkitkan isu Mohd Saiful menjalin hubungan dengan seorang daripada timbalan pendakwa raya di mana Pejabat Peguam Negara telah berjanji akan menjalankan inkuiri.

"Kami masih menunggu bagi inkuiri itu," kata Karpal.

Peguam bela utama Anwar itu juga menggesa mahkamah menolak keterangan Dr Seah, di mana Ram semasa menjalankan pemeriksaan balas berkata ahli kimia itu telah tidak mengguna pakai beberapa protokal antarabangsa semasa melakukan analisisnya.

Sementara itu, Nair berkata keterangan Dr Seah amat penting tetapi beliau telah gagal menyokong penemuannya dengan keterangan dokumen.

"Penemuannya mengenai kehadiran air mani di dubur Mohd Saiful bukan penemuan yang konklusif kerana beberpa jurnal perubatan telah mengesahkan bahawa di bawah keadaan itu (96 jam) proses penyahgredan biasanya berlaku dengan pantas dan mustahil untuk mengesahkan kehadiran air mani," kata Nair.

Hujahnya mahkamah juga perlu mengambil kira keterangan berlakunya pelanggaran keselamatan sepertimana diakui oleh Pegawai Penyiasat DSP Judy Blacious Pereira.

"IO (Pegawai Penyiasat) mengakui yang beliau telah membungkus semula semua sampel yang diserahkan kepadanya oleh Dr Siew Sheue Feng daripada HKL (Hospital Kuala Lumpur), sedangkan tiada alasan untuknya (IO) berbuat demikian, yang kami (pihak pembelaan) menegaskan bahawa gangguan atau pencemaran pada eksibit mungkin berlaku pada peringkat ini," kata Nair. -BERNAMA

Artikel Lain