suria

TNB Catat Keuntungan Rendah Akibat Kenaikkan Harga Arang Batu

KUALA LUMPUR: Syarikat utiliti negara - Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mencatatkan keuntungan yang rendah untuk separuh pertama tahun kewangannya yang berakhir 28 Februari 2011 berikutan harga arang batu yang tinggi.

Untuk baki dua suku lagi, syarikat itu menjangkakan yang keuntungannya akan terus terjejas di celah-celah kenaikan harga arang batu, ketidakcukupan bekalan gas dan bahan bakar alternatif yang agak lebih mahal secara perbandingan.

"Tenaga kini berhadapan dengan tempoh yang amat mencabar," kata presiden dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Keuntungan pracukai untuk suku pertama tahun kewangan berakhir 28 Februari 2011 susut kepada RM1.719 bilion berbanding RM2.235 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan untuk enam bulan bagaimanapun meningkat kepada RM15.229 bilion daripada RM14.727 bilion sebelumnya.

Untuk suku kedua, keuntungan pracukainya juga turun kepada RM722 juta daripada RM1.262 bilion sebelumnya sementara pendapatan mengukuh kepada RM7.503 bilion daripada RM7.389 bilion sebelumnya.

"Kami akan terus tercabar dalam suku-suku seterusnya. Ia memberi kesan negatif kepada keuntungan kami ekoran trend menaik dalam harga arang batu," kata Che Khalib.

Hasil daripada bencana gempa bumi di Jepun, permintaan untuk arang batu akan terus meningkat dan ini bermakna, harga juga akan bergerak seiringan, kata beliau.

Pada masa ini ia telahpun melepasi harga US$120 semetrik ton.

"Oleh yang demikian, keputusan untuk tahun kewangan ini dijangka terjejas teruk. Dan keputusan untuk tahun sepenuhnya akan lebih rendah berbanding sebelumnya," kata beliau.

Katanya lagi, purata harga arang batu yang digunakan ialah AS$103.80 semetrik ton berbanding AS$80.7 semetrik ton dalam suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain