suria

MQA Perlu Dapatkan Sijil Dari Badan Jaminan Kualiti Antarabangsa - Menteri Pengajian Tinggi

PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melakukan inisiatif untuk mendapatkan persijilan daripada Badan Jaringan Antarabangsa Agensi Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi ke atas sistem jaminan kualiti yang dilaksanakan oleh agensi itu sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan rekod operasi MQA yang telah pun menjangkau empat tahun dan jalinan antarabangsanya yang luas pada masa kini, adalah penting untuk agensi itu melaksanakan inisiatif-inisiatif baru pembangunan serta pengiktirafan kapasiti.

Dan salah satu daripadanya ialah dengan memperolehi persijilan daripada Badan Jaringan Antarabangsa Agensi Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi itu.

Berucap dalam Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang MQA bagi tahun 2010 di sini, Khamis, Khaled menambah, melalui inisiatif ini, faedahnya bukan sahaja terletak kepada perolehan pengiktirafan antarabangsa tetapi juga perolehan daripada pakar-pakar luar negara terhadap sistem jaminan kualiti yang Malaysia amalkan.

Ini katanya akan mendorong ke arah penambahbaikan ke atas sistem jaminan kualiti yang telahpun Malaysia amalkan selama ini.

"Saya berharap inisiatif ini akan dapat diusahakan secara serius agar MQA memperolehi persijilan tersebut dalam tempoh dua tahun dari sekarang," ujar beliau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Rahim Md Noor, Pengerusi MQA, Tan Sri Dr Mohamed Salleh Yassin dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Dr Syed Ahmad Hussein.

Badan Jaringan Antarabangsa Agensi Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi adalah sebuah badan kualiti antarabangsa yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil pengiktirafan atau perakuan ke atas agensi kelayakan sesebuah negara berdasarkan amalan dan pengurusan baik.

Biasanya pengiktirafan itu akan dikeluarkan selepas mereka melakukan audit secara menyeluruh.

Menurut Khaled lagi, usaha-usaha pengiktirafan seiring terhadap sistem jaminan kualiti antara agensi juga harus diperbanyakkan oleh MQA.

Pengiktirafan ini akan banyak memberi manfaat bukan sahaja kepada mobiliti graduan tempatan ke luar negara malahan turut dinikmati oleh para graduan warga asing yang mengikuti pengajian di universiti Malaysia.

"Ini sudah tentunya akan banyak membantu usaha KPT untuk menarik lebih ramai pelajar asing belajar di negara kita.

"Dalam konteks ini, saya dimaklumkan bahawa MQA telahpun menjalinkan kerjasama dengan New Zealand Qualifications Authority dan berharap sesuatu yang memberansangkan dapat dihasilkan menjelang hujung tahun ini," ujar Khaled lagi.

Selain daripada itu katanya, MQA sudah cukup matang untuk membolehkan mereka membentuk kumpulan pakar penilai sendiri.

Pakar-pakar ini katanya boleh terdiri daripada pelbagai latarbelakang kepakaran termasuk dari IPTA dan IPTS.

"Jesteru saya berpandangan sudah tiba masanya untuk kita menggunakan sepenuhnya kumpulan-kumpulan pakar penilai MQA ini sebagai duta kualiti Malaysia.

"Ini boleh dilakukan dengan memudahcarakan penyertaan mereka dalam tugasan-tugasan jaminan kualiti di luar negara," katanya lagi.

Jelas Khaled, dengan pendekatan ini, secara tidak langsung, pihak luar negara akan didedahkan dengan amalan dan pendekatan terbaik jaminan kualiti yang dilaksanakan di Malaysia dan seterusnya meningkatkan keyakinan mereka terhadap kelayakan-kelayakan pengajian tinggi yang Malaysia anugerahkan.

Malah Khaled berpandangan, pendedahan tugasan di luar negara dan peringkat antarabangsa akan membolehkan pakar penilai MQA bertukar-tukar pandangan dan maklumat dengan pakar negara lain dan seterusnya memperkayakan lagi kepakaran mereka.

Artikel Berikut

Artikel Lain