suria

Malaysia Pada Landasan Tampan Cabaran Ekonomi Global, Kata Awang Adek

WASHINGTON: Malaysia kini berada pada landasan untuk menampan cabaran ekonomi global melalui model baru ekonominya, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau, yang sedang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat Bank Dunia/Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) 2011 di sini, berkata Malaysia sedang mengembangkan pembangunan infrastrukturnya bagi menampan permintaan pada masa depan, dan ini termasuk jalan raya, lebuhraya, pengangkutan bandar, elektrik dan air bersih.

Katanya ini lebih ketara lagi terutama dalam pembinaan jalan raya baharu bagi menyediakan akses kepada kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Awang Adek berkata mesyuarat itu juga menekankan mengenai keperluan pembangunan infrastruktur di negara anggota "dan apa yang dilakukan Malaysia sekarang ini adalah betul dan jauh ke hadapan berbanding banyak negara pada bidang ini."

Tambahan lagi, perbincangan juga berkisar sekitar "perangkap pendapatan pertengahan" yang dialami banyak negara di ekonomi baharu muncul seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Brazil, dan Argentina, yang berhasrat memecahkan halangan itu dan melonjak ke kumpulan berpendapatan tinggi.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memandang ke hadapan bagi menggerakkan negara ini ke arah status negara maju dengan melancarkan Model Baru Ekonomi dan dengan melabur di segi bakat dan kemahiran rakyat Malaysia melalui pendidikan tinggi dan latihan.

"Matlamatnya ialah untuk mencapai pendapatan per kapita US$15,000-US$20,000 menjelang 2020," katanya.

Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor-Gabenor Bank Pusat dari kira-kira 185 negara anggota berkumpul di sini pada hujung minggu ini bagi memberi respons secara kolektif terhadap peluang dan cabaran yang dihadapi oleh ekonomi dunia pada tahun ini dan seterusnya.

IMF, di dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunianya, memberi jaminan komuniti antarabangsa bahawa dunia ini sedang pulih secara perlahan-lahan daripada krisis ekonomi 2008 tetapi menggalakkan ekonomi membangun untuk fokus dahulu bagi membetulkan fundamental dan kestabilan sebelum tewas pada cabaran untuk mengejar sasaran pertumbuhan yang besar.

Awang Adek berkata pertumbuhan Malaysia diunjurkan menjadi sederhana kepada 6.0 peratus pada 2011 daripada 7.2 peratus pada tahun lepas.

Katanya negara-negara anggota juga melahirkan kebimbangan mengenai lonjakan di segi aliran masuk dan keluar modal antarabangsa, yang jika tidak diuruskan, akan memberi kesan pada kadar pertukaran, nilai hartanah, dan mencetuskan inflasi yang tinggi.

Selain itu, kumpulan Asia Tenggara di dalam Bank Dunia menyeru IMF untuk mengkaji masalah "wang panas" secara teliti dan membuat cadangan yang konkrit.

"IMF tidak boleh tergeda-gesa menawarkan penawarnya tetapi sebaliknya membuat cadangan yang adil, seimbang dan dilaksanakan secara sukarela," katanya.

Awang Adek melanjutkan kehadirannya di Washington beberapa hari lagi bagi mengadakan perbincangan dengan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Dewan Perniagaan AS dan Majlis Perniagaan AS-Asean serta menemui para pelajar Malaysia di kawasan itu. - BERNAMA

Artikel Lain