suria

Pengerusi Parti Kita Kedah Cabar Anwar Saman Trio 'Datuk T' Dan Raja Petra

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) Kedah Zamil Ibrahim mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyaman trio "Datuk T" dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Zamil berkata sekiranya Anwar berasakan dirinya telah difitnah dan merupakan seorang pemimpin yang betul dan ikhlas, beliau mempunyai hak untuk menyaman mereka.

"Saya rasa dia (Anwar) tengah berfikir. Budaya saman-menyaman ini bukan perkara baru bagi Anwar," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, di sini Ahad.

Sebelum ini, tiga individu yang menggelarkan diri mereka "Datuk T" mendedahkan satu video seks yang didakwa mereka membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang dan telah menyerahkan video serta jam tangan jenama Omega yang didakwa ditemui di tempat kejadian kepada polis.

Manakala dalam satu rakaman temu bual yang disiarkan Buletin Utama TV3 pada Rabu lepas, Raja Petra mendedahkan akuan bersumpahnya berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu, bertujuan menyekat Datuk Seri Najib Tun Razak daripada menjadi Perdana Menteri.

Zamil juga meminta polis supaya tidak takut dan bertindak telus untuk mendedahkan secara jujur individu yang terlibat dalam video seks itu. - BERNAMA

Artikel Lain