suria

MPI Terima Tajaan RM340,000 Bagi Malam Kewartawanan MPI-PETRONAS 2010

Chamil Wariya (empat dari kiri) bersama ahli-ahli Majlis Pentadbiran MPI - (dari kiri) Choo Joon Kian dari Sin Chew Jit Poh, Puan Sri Diah (Kumpulan Karangkraf), Datuk Jamaluddin Mansor (MMP Communication), Datuk Mustapa Omar (Harian Metro), dan Foo Tiek Fat (Nanyang Siang Pau) - menerima cek daripada penaja. - Foto THE STAR Oleh P. NATHAN

KUALA LUMPUR: Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada Rabu menerima tajaan sebanyak RM340,000 daripada 54 penaja dan penyumbang sempena penganjuran Malam Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2010 yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 29 April ini.

Syarikat minyak negara, Petronas menaja RM300,000 setahun bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersetuju menjadi tetamu kehormat pada malam tersebut dan sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Menurutnya, penyertaan bagi pengiktirafan kepada media yang dianjurkan sejak 1982 itu terus mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Katanya, sebanyak 197 wartawan mewakili media pelbagai bahasa dari seluruh negara mengambil bahagian.

"Mereka telah mengemukakan sebanyak 509 artikel berita dan rencana, foto dan laporan video," katanya pada majlis penyerahan cek para penaja dan penyumbang sempena Malam Wartawan Malaysia 2011 di PWTC, Rabu.

Lebih daripada 51 wakil korporat mewakili 28 syarikat menyampaikan sumbangan masing-masing dalam majlis itu.

Chamil memberitahu, sebanyak 18 wartawan dicalonkan untuk kategori Hadiah Wartawan Muda A Samad Ismail; Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang (21); Laporan Berita Cemerlang (14), Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang (23), Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang (5), Penulisan Rencana Cemerlang (44), Penulisan Kolum Cemerlang (7), Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang (6), Kewartawanan Foto Cemerlang (35), Esei Foto Cemerlang (7), Berita Video Terbaik (10) dan Dokumentari Video Terbaik (7).

Katanya, kesemua penyertaan dihakimi oleh sebuah panel bebas diketuai oleh Profesor Kewartawanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohd Safar Hasim.

"Ahli-ahli panel lain terdiri daripada para wartawan veteran yang berpengalaman dan para pensyarah dalam bidang media, komunikasi dan kewartawanan," katanya.

Penyertaan terbaik akan dianugerahkan Hadiah Kajai yang akan membawa wang tunai RM30,000, di samping lain-lain hadiah iringan.

Hadiah wang tunai bagi pemenang kategori-kategori lain pula ialah RM15,000.

Ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek itu, Chamil memberitahu, bilangan peserta hampir sama seperti tahun sebelum tetapi kualiti laporan yang diterima semakin meningkat.

Menurutnya, ini menyebabkan panel juri menghadapi kesukaran mengenal pasti pemenang untuk setiap kategori yang dipertandingkan.

"Para juri setakat ini cuma mengenal pasti tiga calon terbaik bagi setiap kategori.

"Mereka akan mengadakan mesyuarat tidak berapa lama lagi untuk memilih pemenang setiap kategori," katanya.

Wartawan The Star dan untuk pertama kalinya, mStar dicalonkan dalam kategori Hadiah Wartawan Muda A Samad Ismail, Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang, Laporan Berita Cemerlang, Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang dan Penulisan Rencana Cemerlang.

Selain itu, wartawan mStar mendapat pencalonan dalam kategori Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang dan Penulisan Kolum Cemerlang.

Manakala wartawan The Star turut dicalonkan bagi kategori Esei Foto Cemerlang dan Kewartawanan Foto Cemerlang.

Artikel Lain