suria

Simbol Kapal Terbang Paling Banyak Digunakan Calon Bebas

KUCHING: Simbol kapal terbang merupakan simbol yang paling banyak dipilih oleh calon-calon Bebas bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 iaitu 17 calon daripada keseluruhan 41 calon Bebas.

Simbol kunci adalah yang kedua tertinggi iaitu sebanyak enam calon, bunga (lima), pokok (empat), rumah (dua), ikan (dua) dan masing-masing satu bagi simbol buku, burung, cermin mata, kerusi dan pen.

Dominique Ng, bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan satu-satunya calon PKR yang menang pada pilihan raya lepas, kali ini bertanding sebagai calon Bebas bagi mempertahankan kerusi Padungan dengan menggunakan simbol bunga.

Seorang lagi calon Bebas, bekas timbalan menteri pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin menggunakan simbol kunci dalam pertandingan di Balingian, menentang Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud (BN) dan peniaga Suriati Abdullah (PKR).

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata SPR menyediakan 30 simbol bagi calon-calon Bebas dan setiap calon Bebas dibenarkan memilih logo mereka sendiri.

"Jika ada lebih daripada dua calon Bebas (di kawasan sama) mahukan sesuatu simbol itu, undian akan dijalankan bagi menentukan hanya seorang menggunakan sesuatu simbol itu. Jadi tiada masalah perebutan simbol," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat. -BERNAMA

Artikel Lain