suria

Pelbagai Pihak Mahukan Suruhanjaya Diraja Segera Ditubuhkan

PETALING JAYA: Tanpa mengira latar belakang politik beberapa pemimpin menggesa kerajaan supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed di pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane Rabu lalu.

Presiden Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perkara itu perlu segera dilakukan bagi menjaga nama baik SPRM yang telah tercemar ekoran kematian kedua yang melibatkan saksi yang memberikan keterangan di pejabat suruhanjaya terbabit.

“Saya minta Suruhanjaya Diraja ini segera ditubuhkan. Kalau boleh suruhanjaya itu dianggotai oleh individu yang tidak mempunyai apa-apa pengaruh supaya kita dapat tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian mengejut Ahmad Sarbani, Rabu lalu.

Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan SPRM dalam Operasi 3B pada pukul 1 petang, 1 April lepas di Pejabat Kastam, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain, namun beliau dibebaskan dengan jaminan pada 2 April.

Beliau dikatakan hadir ke pejabat SPRM itu semalam untuk bertemu pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya.

Bagaimanapun beliau ditemui mati dalam keadaan tertiarap di gelanggang badminton di Tingkat 1 bangunan SPRM Jalan Cochrane pada pukul 10.15 pagi.

Ini merupakan kes kematian kedua melibatkan saksi yang memberi keterangan kepada SPRM.

Pada 16 Julai 2009, pembantu politik kepada Exco Kerajaan Selangor Ean Yong Hian, Teoh Beng Hock ditemui mati di koridor luar tingkat lima pejabat bangunan SPRM di Plaza Masalam Shah Alam.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, penubuhan suruhanjaya tersebut perlu disegerakan kerana ia telah menjadi isu nasional yang melibatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

"Keadilan perlu diberikan kepada SPRM dan keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani. Kita mahu orang yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan dan terima hukuman yang setimpal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penubuhan Suruhanjaya Diraja perlu dilakukan kerana banyak persoalan perlu di rungkai mengenai punca sebenar kematian pegawai kanan Jabatan Kastam Selangor itu.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja mesti ditubuhkan untuk menyiasat kematian Allahyarham Sarbani dengan serta-merta dengan melibatkan masyarakat sivil serta menyiasat struktur dan organisasi SPRM dalam kes ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia turut menggesa Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tegas dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam yang disiasat oleh SPRM.

“Kita berharap Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang baru ditubuhkan dapat memulakan siasatan.

“Hal ini bagi memulihkan keyakinan penjawat awam dan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan selepas rentetan satu demi satu kes malang,” katanya.

Artikel Lain