suria

Jumlah Mangsa Banjir Di Perlis Terus Meningkat

KANGAR: Mangsa banjir di Perlis terus meningkat dengan 4,032 orang daripada 1,013 keluarga dipindahkan ke 33 pusat pemindahan sehingga malam Jumaat.

Angka itu lebih tinggi berbanding jumlah yang berada di pusat-pusat pemindahan sebelah petang tadi sebanyak 3,475 orang daripada 919 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan banjir Perlis berkata jumlah terbesar ialah mangsa-mangsa daripada kawasan Kangar 3,346 orang daripada 837 keluarga dipindahkan ke 22 buah pusat pemindahan.

Menurutnya di kawasan Arau, 459 mangsa daripada 122 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan manakala di kawasan Padang Besar 227 mangsa daripada 54 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan.

Paras air dilaporkan meningkat di beberapa kawasan sekitar Kangar walaupun hari ini cuaca cerah.

Bagaimanapun paras air di kebanyakan kawasan Padang Besar mulai surut. -BERNAMA

Artikel Lain