suria

Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Miliki Wang Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang pembaik telefon bimbit dan seorang buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan memiliki 11 keping wang kertas palsu bernilai RM850 dua minggu lepas.

Liew Yoon Thiam, 35, dan Chen Choon Hong, 28, didakwa bersama-sama memiliki enam keping wang kertas RM100 dan lima keping wang kertas RM50 dalam sebuah sampul dengan mengetahui ianya adalah palsu dan dengan niat menggunakannya sebagai tulen.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 34/154, Taman Bukit Anggerik, Cheras pada 9.20 malam 15 Mac.

Kedua-dua lelaki itu, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Liew turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap tuduhan memiliki dua keping wang kertas palsu RM50 dan satu keping wang kertas RM10 dalam sebuah dompet dengan mengetahui ianya adalah palsu dan dengan niat menggunakannya sebagai tulen.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 9.30 malam, pada tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P.Viknesvaran memohon agar jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Liew memohon wang ikat jamin itu dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan pendapatan yang diperolehnya tidak menentu dan dia perlu menyara teman wanitanya yang mengandung.

Chen memohon supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM1,000 dengan alasan dia mempunyai masalah mental sejak kecil.

"Saya hanya bekerja sebagai pembancuh simen dengan pendapatan RM50 sehari," katanya.

Hakim Datuk Jagjit Singh kemudiannya membenarkan Liew diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin manakala Chen dirujuk kepada pakar psikiatri untuk tindakan selanjutnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

Artikel Lain