Muhyiddin Akan Teruskan Program GTP Hingga 2012 - Semasa | mStar

Muhyiddin Akan Teruskan Program GTP Hingga 2012

KUALA LUMPUR: Teraju utama memimpin dan menyelia Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada masa akan datang sehingga tahun akhir pelaksanaannya pada 2012 diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2010 GTP di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, malam Ahad, Perdana Menteri berkata Muhyiddin akan dibantu oleh kesemua enam menteri yang terlibat dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan di dalam GTP.

"Program GTP ini akan diselaraskan dan dipantau selia selepas ini oleh Muhyiddin dan beliau akan menyelaraskan semua tindakan yang akan diambil oleh menteri terutamanya menteri utama NKRA dalam enam bidang tersebut," katanya.

Menurut Najib keenam-enam NKRA itu ialah mengurangkan kadar jenayah negara, memerangi rasuah, memperbaiki pencapaian pelajar, memperbaiki taraf kehidupan isi rumah, memperkasa prasarana asas luar bandar dan memperbaiki pengangkutan awam bandar.

Najib berkata kejayaan program GTP tidak akan terhenti pada tahun pertama pelaksanaannya sebaliknya ia akan menguatkan semangat kerajaan untuk terus bekerja.

"Kita akan terus bergerak, bekerja dan kita akan lakukan apa sahaja yang termampu demi untuk rakyat kita," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata buku laporan setebal 268 muka surat itu boleh dimuat turun melalui laman web www.pemandu.gov.my.

Beliau turut menghargai sumbangan penjawat awam yang banyak membantu pelaksanaan GTP sepanjang setahun pertama selepas dilancarkan pada April 2009.

Majlis itu, yang dihadiri oleh 7,000 orang, turut diserikan dengan persembahan artis-artis tempatan antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Zainal Abidin, Atilia dan Reshmonu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain