suria

Malaysia Sokong Usaha Arab Saudi, GCC Capai Keamanan Di Bahrain

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia menyokong tindakan Arab Saudi dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke arah mencapai keamanan, perdamaian dan kestabilan jangka panjang di Bahrain.

"Kami menyokong penuh semua keputusan yang diambil oleh GCC yang bertujuan menjaga kestabilan dan keselamatan di rantau itu bagi memastikan keamanan dan keharmonian rakyat mereka.

"Malaysia mengutuk sebarang kumpulan berkaitan pengganas yang merosakkan kestabilan dan keselamatan negara," kata Perdana Menteri dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian ketika pertemuan dengan setiausaha agung Majlis Keselamatan Negara Kerajaan Arab Saudi Putera Bandar Sultan Abdulaziz Al-Saud, yang dihantar sebagai utusan khas untuk menyampaikan beberapa mesej penting Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud, pada Isnin.

Antara isu yang dibincangkan ialah mengenai keselamatan dan keganasan di GCC dan Asia Tenggara.

Kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk mengecam semua tindakan keganasan dan kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pengganas yang cuba menggugat kestabilan kerajaan yang mengancam keselamatan negara, keharmonian dan keamanan rakyat di Arab Saudi dan Malaysia.

Putera Bandar turut menyampaikan ucapan selamat dari Raja Abdullah dan berkata baginda amat gembira dengan hubungan baik antara kedua-dua negara di bawah kepimpinan perdana menteri, kata kenyataan itu.

Sementara itu, pakej kerjasama ekonomi berjuta-juta dollar untuk kedua-dua negara turut dibincangkan, dengan maklumat mengenai perkara itu akan diperinci dan diumumkan kelak.

"Kami berpuas hati dengan kegiatan ekonomi kita yang luas dengan Arab Saudi setakat ini dan menjangka untuk mengambil langkah besar pada masa depan dalam usaha memperkukuhkan hubungan jangka panjang," katanya.

Najib bekata beliau juga gembira apabila mengetahui bahawa PetroSaudi menyalurkan keuntungan tunai tambahan sebanyak US$8.15 juta kepada 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB) sempena lawatan Putera Bandar itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain