suria

Taib Jumpa TYT Di Astana Sebelum Mesyuarat Kabinet Negeri

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Khamis mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Tun Abang Mohammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri.

Pertemuan itu menarik perhatian pihak media yang menunggu di luar pintu pagar utama sejak pukul 9 pagi.

Abdul Taib yang menaiki kereta rasminya masuk ke Astana pukul 9.40 pagi sebelum keluar semula dari kawasan Astana pukul 10.55 pagi untuk menghadiri mesyuarat kabinet negeri di bangunan Wisma Bapa Malaysia pada jam 11 pagi ini.

Bagaimanapun, Abdul Taib enggan memberi sebarang komen kepada pihak media berhubung pertemuannya itu sebaik sahaja keluar dari Wisma Bapa Malaysia tengah hari tadi.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata pertemuan Ketua Menteri dengan Yang Dipertua Negeri hari ini adalah amalan biasa setiap kali berlangsungnya mesyuarat kabinet. "Tidak ada apa-apa, normal, biasanya Ketua Menteri akan memberi penjelasan kepada Yang Dipertua Negeri sebelum membuat sesuatu mesyuarat Kabinet," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Bapa Malaysia di sini, Khamis.

Johari berkata mesyuarat kabinet itu adalah mesyuarat mingguan biasa dan tidak ada menyentuh tentang perkara lain selain yang berkaitan kementerian.

Sementara itu, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan ketika ditanya soalan yang sama juga berkata perkara tersebut merupakan perkara biasa sebelum mesyuarat kabinet negeri diadakan. -BERNAMA

Artikel Lain