suria

Adenovirus Tidak Akan Merebak Ke Tempat Lain - Rosnah

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin hari ini memberi jaminan bahawa jangkitan 'Adenovirus' yang mengorbankan dua nyawa pelatih Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) setakat ini, tidak akan merebak ke tempat lain.

Beliau berkata virus itu dikategorikan sebagai virus 'isolated' (terpencil) dan hanya memberi kesan kepada kawasan sekitar, namun ia sedang dipantau ketat oleh kementerian agar tidak berulang.

"Kita mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, hospital-hospital yang berkaitan juga melakukan rawatan sewajarnya dan begitu juga di Pulapol kita pantau sewajarya.

"Kita juga memastikan team kita memang ditempatkan di sana sejak kejadian itu, team kita setiap hari pantau keadaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Futsal Wanita Terbuka 1Malaysia di sini.

Rosnah berkata virus berjangkit itu berkemungkinan dibawa oleh binatang dan faktor kebersihan yang kurang turut menyumbang kepada kewujudannya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar menjaga kebersihan dan sentiasa mencuci tangan apabila melakukan aktiviti, di samping mengamalkan cara hidup sihat.

Virus itu dikesan pada 4 Mac, dan pada Selasa lepas, ia mengorbankan seorang pelatih di institut itu Mohd Azizan Azizi, 21, dan awal pagi ini seorang lagi pelatih, Inspektor Mohd Redzuan Ishak meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur. Mengenai program futsal yang dilancarkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu, Rosnah berkata program itu adalah cetusan idea Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan akan dirasmikan sendiri oleh beliau di Kompleks Futsal Putrajaya, Presint 18.

Rosnah berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua wanita warga negara berumur 15 hingga 35 tahun dan akan diadakan dari 30 April hingga 2 Mei menawarkan jumlah hadiah keseluruhan wang tunai sebanyak RM21,400. -BERNAMA

Artikel Lain