suria

Enggan Tunding Jari Kematian Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR: Pemangku Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hairul Ilham Hamzah enggan menunding jari kepada sesiapa berhubung tragedi yang menimpa Teoh Beng Hock yang ditemui mati selepas membantu siasatan yang dijalankan oleh badan berkecuali tersebut.

Hairul Ilham pada Khamis berkata, beliau menyerahkan kepada suruhanjaya yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh bagi menentukan siapakah yang patut dipertanggungjawabkan dengan kejadian yang berlaku dua tahun lalu.

Terdahulu, persoalan mengenai siapa yang perlu bertanggungjawab diajukan oleh peguam Cheow Wee yang mewakili Majlis Peguam Malaysia dengan memberikan tiga pilihan nama, termasuk Hairul Ilham.

Dua lagi ialah Mohd Anuar Ismail atas kapasitinya sebagai pegawai penyiasat dalam kes yang membabitkan Teoh diikuti dengan bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim.

"Susah mahu jawab kerana saksi sememangnya tiada kawalan (kenyataan sebelum ini mengatakan Teoh tidak dikawal semasa berada di pejabat SPRM kerana hadir sebagai saksi)," katanya.

Jawapan saksi menyebabkan Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, saksi seharusnya menyelia kerja-kerja yang dijalankan oleh pegawai-pegawai bawahan SPRM memandangkan beliau merupakan Ketua Unit Siasatan. Mendengarkan kenyataan tersebut, Hairul Ilham yang menyertai SPRM Selangor pada tahun 2008 berkata: "Saya serahkan kepada suruhanjaya untuk tentukan siapa yang perlu bertanggungjawab."

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa peristiwa tersebut ada 'bermain-main' di fikirannya.

Pada keterangan lain, Hairul Ilham yang merupakan saksi ke-22 memberitahu bahawa semua pegawai SPRM tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan teknik fizikal atau teknik psikologi seperti mengertak anggota keluarga semasa menemubual saksi.

Saksi juga memberitahu, beliau tidak mengetahui jika teknik tersebut ada digunakan oleh pegawai-pegawai SPRM kerana beranggapan semua pegawai seharusnya tahu mengenai hal itu kerana telah diajar pada latihan asas.

Jawapan saksi sekali lagi mendapat reaksi suruhanjaya di mana anggotanya, Datuk Dr Bhupinder Singh menyifatkan ia sebagai 'mengarut' kerana kapasiti saksi memerlukan beliau mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam jabatan.

Hairul Ilham juga memberitahu, seorang pegawainya, Mohd Asyraf Mohd Yunus tidak lagi berurusan dengan saksi atau suspek selepas pihaknya mendapat tahu bahawa terdapat aduan polis dibuat mendakwa lelaki tersebut ada menggunakan kekerasan dalam tugasnya.

Sebagai langkah untuk mengelak berlaku tohmahan juga, setiap bilik yang digunakan untuk merakamkan percakapan kini dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

Semasa disoal James jika saksi mempunyai cadangan untuk membantu dalam penambahbaikkan dalam tugas mencatat tindakan yang dilakukan oleh pegawai SPRM, saksi menjawab:

"Kalau boleh pegawai dibekalkan dengan buku poket seperti yang digunakan oleh anggota polis, atau dibekalkan dengan telefon pintar seperti Blackberry atau iPhone."

Sementara itu, Hairul Ilham juga mengakui bahawa Teoh adalah seorang 'rakan subahat' dalam siasatan yang dilakukan terhadap majikan mendiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Anggapan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor yang ditemui pada empat dokumen yang ditemui pada komputer riba Teoh yang didapati mencurigakan kerana mempunyai beberapa kekurangan seperti tidak mempunyai tandantangan dan berlaku kesalahan ejaan.

Selain itu, pemeriksaan yang dilakukan mendapati dokumen-dokumen tersebut tiada dalam e-mel Teoh yang mendatangkan syak bahawa dokumen tersebut dibuat oleh Teoh. Namun begitu, saksi mengakui bahawa pihaknya tidak boleh memaksa Teoh untuk memberi keterangan yang menentang Ean, yang semasa itu disiasat atas dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini selepas beberapa jam berada di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 plaza sama.

Prosiding inkues yang dijalankan sebelum ini juga tidak dapat menentukan sama ada kematian itu diakibatkan oleh bunuh diri atau dibunuh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain