suria

Proses Pengundian Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau Dan Kerdau Bermula

JASIN: Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau dan DUN Pahang kawasan Kerdau, bermula pada Ahad dengan pusat-pusat pengundian dibuka mulai 8 pagi ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Roslan Ahmad, 44, iaitu Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Jasin, ditentang calon PAS, Yuhaizad Abdullah, 38, yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka, dalam pertandingan di DUN Merlimau.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Bagi DUN Kerdau pula, Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau dan calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, dicabar Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim, 43.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Kerdau daripada BN, Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas akibat serangan jantung. Proses pengundian akan berakhir jam 5 petang dan keputusan dijangka diumumkan pada 8 malam ini.

Di JASIN, tujuh pusat pengundian telah dibuka iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Jasin Lalang, Sekolah Kebangsaan Chin Chin, SJK Tamil Ladang Jasin Lalang, Sekolah Kebangsaan Merlimau 2, Sekolah Kebangsaan Merlimau 1, Sekolah Kebangsaan Merlimau dan SJKC Merlimau.

DUN Merlimau mempunyai seramai 10,679 pengundi berdaftar.

Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Platinum Politeknik Merlimau. Pengundian pos diadakan pada 2 Mac membabitkan 36 pengundi.

Di TEMERLOH, Pengawai Pengurus pilihan raya kecil DUN Kerdau Datuk Tarif Abdul Rahman berkata 13 pusat mengundi telah dibuka dan sejumlah 8,948 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka.

"Kami meminta pengundi-pengundi di DUN Kerdau supaya keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bagi melancarkan proses pengundian dan mengelak berlaku kesesakan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata semua peti undi akan dibawa ke pusat penjumlahan undi rasmi di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh.

Proses pengundian pos bagi pilihan raya kecil itu diadakan Khamis lepas yang melibatkan 14 anggota polis dan 36 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya, manakala satu lagi undi dihantar kepada seorang pengundi yang sedang berada di luar negara.

Tiga belas pusat pengundi bagi DUN Kerdau ialah Dewan Puspa Rumpun Makmur, Sekolah Kebangsaan Jengka 25, Sekolah Kebangsaan Jengka 22, Balai Raya Kampung Seri Tanjung, Sekolah Kebangsaan Jengka 23, Sekolah Kebangsaan Kuala Tekal, Sekolah Kebangsaan Pulau Pasir Mandi, Balai Raya Kerai; Sekolah Kebangsaan Lipat Kajang, Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau, Sekolah Kebangsaan Paya Taram, Sekolah Kebangsaan Kerdau dan Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang. - BERNAMA

Artikel Lain