suria

PAC Perak Syor Tanah Terbiar Disewa

IPOH: Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perak meminta kerajaan negeri mengarahkan mana-mana jabatan dan agensinya yang memiliki tanah-tanah terbiar supaya mencari kaedah sesuai mengelak pembaziran apabila kawasan berkenaan tidak dimajukan.

Pengerusinya Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata terdapat ratusan hektar tanah milik pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri yang terbiar kerana belum ada rancangan pembangunan tetapi wang dibelanjakan untuk menyelenggara tanah-tanah itu.

"Pemilik iaitu agensi atau anak-anak syarikatnya terpaksa berbelanja bagi memasang pagar dan membersih tanah-tanah itu...pembaziran boleh dielak jika tanah itu boleh disewa bagi tujuan pertanian jangka pendek," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata tanah-tanah terbiar yang berpotensi dibangunkan sebagai ladang sayur dan sebagainya boleh disewa kepada pertubuhan belia atau individu untuk menjalankan projek komersial.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyarankan kerajaan negeri supaya berusaha memastikan pemberian hak milik kekal kepada orang miskin yang kini tinggal di kawasan berstatus lesen menduduki sementara (TOL) dipermudah dan disegerakan.

Katanya usaha itu perlu dipercepatkan kerana ada di kalangan mereka tinggal di kawasan tersebut sejak berpuluh-puluh tahun.

Sekiranya masalah penduduk yang tinggal di tanah TOL ini dapat diselesaikan ia akan memberi impak positif kepada pelan untuk menjadikan Perak Maju menjelang 2015, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain