suria

PRK Kerdau: Calon BN Janji Beri Perhatian Kepada Belia

TEMERLOH: Calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad berjanji akan memberi perhatian kepada pembangunan dan keperluan golongan belia selaras dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, perhatian yang sewajarnya akan diberikan bagi memenuhi permintaan golongan tersebut terutama dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik.

"Kita perlu dekati golongan ini kerana mereka perlukan perhatian. Saya tengok mereka memang menyokong BN.

"Kita faham sebagai belia, mereka ada kehendak sendiri. Sebab itu kita perlu dekati mereka kerana kehendak mereka dengan orang tua tidak sama," katanya ketika ditemui sewaktu berkempen di Desa Murni, Kerdau, di sini, Khamis.

Menurut beliau antara maklum balas yang diperolehi, golongan belia terutama di DUN Kerdau mahu kerajaan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas seperti tempat tinggal, tempat riadah dan hiburan.

Sementara itu mengulas mengenai perjalanan kempen, Naib Ketua Umno Bahagian Kuala krau itu berkata, pengundi di kawasan berkenaan memberikan sokongan yang baik berdasarkan reaksi ketika berkunjung bertemu pengundi.

"Nampaknya pengundi yakin kepada BN sebab setiap kali kita menemui mereka, bukan sahaja di sambut dengan jabat tangan, tapi disusuli dengan rintihan dan cerita-cerita masalah mereka.

"Kalau orang tak percaya kepada BN, mereka tak akan bercerita kepada kita masalah mereka," katanya.

Artikel Lain