suria

Suruhanjaya: Tiada Aduan Penderaan Fizikal

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock diberitahu pada Jumaat, bahawa tiada sebarang aduan diterima yang mengatakan Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan penderaan berbentuk fizikal.

Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal, 39, berkata, terdapat tiga lagi individu yang bersama Teoh pada malam dia berada di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini.

Mereka ialah Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah dan dua orang kontraktor bernama Lee Wai Leng dan Harun.

“Saya hanya ingat Tan mengatakan bahawa dia diarahkan untuk berdiri selama beberapa jam dan tidak dibenarkan duduk serta ada pegawai mengacu-acukan tangan ke arahnya. Dua lagi tidak membuat sebarang aduan,” kata Ahmad Nazri.

Selain itu, pegawai polis yang berpengalaman selama 11 tahun itu juga berkata, usaha mencari senjata yang dilakukannya di pejabat SPRM, termasuk di bahagian tandas dan siling tidak menemui sebarang senjata seperti kayu dan paip besi.

Ahmad Nazri menambah, tiada bukti yang menunjukkan bahawa terdapat sesuatu objek keras telah dimasukkan ke dalam punggung pembantu politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah itu.

Pada prosiding sama, peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM menyoal sekiranya terdapat ujian dibuat untuk melihat kedudukan sesuatu objek yang terjatuh daripada tingkat 14.

Ahmad Nazri menjawab, ujian sedemikian ada dilakukan oleh pakar patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Prashant Naresh Samberkar dengan menggunakan anak patung dan botol berisi air minuman.

“Bagaimanapun, beliau ada mengatakan bahawa itu bukan keadaan yang sebenar kerana tidak menyamai berat badan Teoh,” katanya.

Ahmad Nazri menambah, objek yang dijatuhkan dari tingkap akan berada di kedudukan yang lebih hampir pada dinding, manakala objek yang dilempar akan berada dekat dengan kedudukan mayat ditemui.

“Sekiranya terjun, akan ada daya anjakan yang akan menunjukkan jarak yang lebih jauh,” tambahnya.

Mengenai kehilangan kepala jam Teoh yang masih tidak ditemui sehingga kini, saksi berkata perkara itu mungkin berlaku sekiranya bahagian jam termasuk ke dalam lubang saliran air yang berhampiran mayat.

“Sekiranya mengambil tempoh masa yang berlalu, iaitu dua tahun, mungkin kedudukan jam berubah sedikit demi sedikit apabila hujan lebat,” katanya.

Ahmad Nazri bersetuju bahawa penemuan jam tangan itu dapat membantu sekiranya jam tersebut rosak dan berhenti berfungsi pada waktu kejadian.

Pada keterangan lain, saksi mengakui bahawa beliau hanya pernah menyiasat kes-kes kematian yang melibatkan unsur bunuh.

“Untuk makluman, saya tidak pernah menyiasat kes bunuh diri. Kematian mengejut juga tidak pernah,” katanya.

Saksi juga memberitahu bahawa pada kebiasaannya, tiada had masa diberikan untuk menyiasat kes bunuh, berbanding dengan keadaan kes Teoh, di mana beliau perlu menyiapkan siasatan dalam masa tujuh hari.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam dan kematiannya menyebabkan SPRM menjadi pihak yang dipersalahkan.

Ini kerana, beberapa jam sebelum itu Teoh hadir di pejabat SPRM untuk memberi keterangan sebagai saksi berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan Kerajaan Negeri Selangor.

Satu prosiding inkues siasatan kematian Teoh telah diadakan pada 29 Julai 2009 dan pada 5 Januari lalu, Koroner Azmil Muntapha Abas memberikan keputusan terbuka, kerana tidak dapat memutuskan sama ada Teoh mati kerana membunuh diri atau dibunuh.

Prosiding suruhanjaya akan bersambung pada Isnin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain