suria

Mahkamah Khas Beri Impak Besar Perangi Rasuah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah yang memulakan operasinya minggu ini di bandar raya terpilih membuktikan bahawa kerajaan memandang serius perbuatan rasuah dan mengambil semua langkah perlu untuk membanterasnya secara efektif.

Dengan penubuhan mahkamah khas ini, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Datuk Hashim Hamzah berkata ia meningkatkan usaha untuk memerangi rasuah sebagai tambahan kepada pelaksanaan pelbagai langkah termasuk pewujudan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kami mensasarkan untuk menyelesaikan kes pendakwaan kes rasuah dalam tempoh setahun, khususnya kes kepentingan awam," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di sini, Rabu.

Mahkamah khas itu memulakan operasi minggu ini di Johor Baharu, Ipoh, Seremban, Kuantan, Kuching, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Katanya perbicaraan yang berlarutan dan rayuan patut diminimumkan kerana ia meningkatkan peluang kepada saksi untuk menghilangkan diri, saksi diganggu, bahan bukti dirosakkan, daya ingatan saksi semakin lemah atau saksi hilang minat dengan kes itu dan enggan memberikan kerjasama.

"Adalah perkara biasa untuk mempunyai seramai 20 saksi bagi satu kes sahaja. Dan proses yang berlarutan sering dilihat bertujuan untuk melewatkan penyampaian keadilan," katanya.

Beliau berkata mahkamah khas itu juga akan membantu para hakim memberikan lebih tumpuan untuk mensabitkan mereka yang bersalah kerana mereka tidak perlu mengendalikan pelbagai kes yang berbeza.

Tambahan lagi, katanya prosedur yang banyak dalam kes mahkamah boleh mengakibatkan ketidakseimbangan dalam sosio ekonomi dan menghapuskan sistem nilai rakyat Malaysia.

"Di masa lalu, tempoh yang panjang untuk mendakwa tertuduh dan dibicarakan juga bermakna mereka akan diberikan bayaran balik gaji yang banyak apabila mahkamah akhirnya mendapati mereka tidak bersalah, yang kini boleh dielakkan dengan menyelesaikan sesuatu kes dalam masa setahun," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain