suria

Polis Rampas 30,000 DVD Cetak Rompak Bernilai RM300,000

GEORGE TOWN: Polis hari ini menyerbu sebuah rumah banglo di Batu Feringghi di sini dan merampas 30,000 keping cakera padat digital bernilai kira-kira RM300,000.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen Negeri ACP Roslee Chik berkata, serbuan pada 6 petang itu turut mendedahkan banglo tersebut telah dijadikan tempat pemprosesan dan penyimpanan DVD cetak rompak.

Beliau berkata tindakan licik sindiket itu dapat dikesan apabila polis mengenal pasti laluan rahsia yang digunakan bagi menghubungkan rumah terbabit dengan dua lokasi penyimpanan cakera padat berkenaan.

"Polis menghadapi kesukaran memasuki rumah bernilai RM500,000 dipercayai milik suspek ekoran terdapat dua ekor anjing yang menjaga di hadapan rumah berkenaan," katanya kepada pemberita, Isnin.

Hasil pemantauan selama dua bulan, polis turut merampas pelbagai peralatan seperti pembesar suara, komputer, pencetak DVD, papan kekunci, poster VCD dan DVD filem di rumah terbabit.

Roslee berkata dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an di rumah berkenaan yang dipercayai menjalankan kerja-kerja pemprosesan cakera padat.

"Sindiket ini dipercayai mengedar cakera padat itu untuk pasaran tempatan, terutama di sekitar Batu Feringghi, dan turut membekalkannya kepada peniaga pasar malam untuk dijual kepada penduduk sekitar serta pelancong asing dengan harga RM5 sekeping," katanya.

Beliau berkata tiga serbuan dilakukan di Batu Feringghi tahun lepas dan sindiket itu dipercayai didalangi kumpulan sama yang dianggotai kira-kira lima lelaki.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18(4) Akta Penapisan Filem dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tiga hingga lima tahun atau denda maksimum sebanyak RM50,000 atau kedua-duanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain