suria

Penyanyi Malaysia, M. Vasudevan Meninggal Dunia Di Chennai

CHENNAI: Penyanyi rakaman popular Malaysia, M. Vasudevan meninggal dunia di selatan bandar ini pada Ahad selepas mengalami serangan jantung minggu lepas.

Penyanyi berusia 67 tahun itu berada dalam keadaan kritikal selepas serangan jantung dan meninggal dunia di sebuah hospital swasta semalam.

Lebih dikenali dengan nama "Vasudevan Malaysia" di Kollywood, iaitu Bollywoood versi selatan, mendiang telah menyanyikan 8,000 lagu Tamil, demikian menurut laporan Times of India.

"Dalam kerjayanya yang berwarna-warni dan panjang itu, penyanyi dari Malaysia ini meminjamkan suara emasnya kepada beberapa aktor terkenal seperti Sivaji Ganesan, Kamal Hassan dan Rajinikanth.

"Mendiang menyanyikan lebih 4,000 lagu dalam bahasa India Selatan yang lain dan berlakon dalam hampir 85 filem," menurut laporan itu.

Dilahirkan dengan nama Vasudevan Nair, mendiang yang berasal dari Klang, berhijrah ke India untuk mengembangkan kerjaya nyanyiannya dalam industri filem Tamil yang pesat berkembang, satu industri tertua di dunia.

"Mendiang merupakan rakan saya, suara saya dan pelakon bersama saya untuk banyak tahun," kata pelakon Kamal kepada media.

Satu-satunya anak lelaki dan anak perempuan Vasudevan turut mengikut jejak bapa mereka dan menjadi penyanyi rakaman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain