suria

Lelaki Maut Dipanah Petir Ketika Balik Memancing Di Sungai Perak

IPOH: Seorang lelaki terbunuh akibat dipanah petir ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai memancing udang bersama dua rakannya di Sungai Perak, Teluk Intan, 100km dari sini semalam.

Dalam kejadian pada 5.45 petang, Yahya Moktar, 59, berasal dari Sungai Manik, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan.

Dua rakannya, Fadli Yunus, 22, cedera ringan manakala Sofian Saroji, 33, pula tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Goh Kok Liang.

Ketika dihubungi di sini hari ini, Goh berkata ketiga-tiga lelaki itu dikatakan pergi memancing pada pukul 7 pagi semalam dan ketika dalam perjalanan pulang, berlaku hujan lebat yang disertai petir.

Selepas dipanah petir, Yahya dan Fadli rebah dan tidak sedarkan diri, katanya.

Goh berkata Yahya disahkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan manakala Fadli yang cedera ringan dirawat di hospital berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain