suria

Kempen Mydaftar Bantu Masyarakat India Tiada Dokumentasi Pengenalan

KUALA LUMPUR: Masyarakat India yang menghadapi masalah dokumentasi pengenalan diri disaran mengambil peluang membuat permohonan menerusi kempen Mydaftar selama lapan hari mulai 19 Februari ini.

Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan berkata langkah itu bagi memastikan mereka mendapat dokumen pengenalan diri dan mengelak daripada menghadapi masalah pada masa depan.

"Program kempen MyDaftar ini telah diluluskan kerajaan untuk membantu masyarakat India yang menghadapi masalah tidak mempunyai sijil kelahiran, kad pengenalan serta masih memiliki kad pengenalan merah dan belum memohon status warganegara," katanya kepada pemberita selepas taklimat kempen itu bersama masyarakat India Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Air Panas Baru di sini, Ahad.

Kempen itu dianjurkan bersama Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India dan Jabatan Pendaftaran Negara dan disokong oleh beberapa agensi kerajaan lain selain badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan MIC.

Kempen serentak di sembilan negeri itu bertujuan membantu proses mendokumentasikan masyarakat India tempatan yang tidak mempunyai dokumen diri yang sewajarnya.

Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, berkata menerusi kempen itu, masyarakat India yang menghadapi masalah dokumentasi akan dibantu menguruskan permohonan mereka dari segi mengisi dan melengkapkan borang oleh Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan, MIC, NGO dan sukarelawan yang menyokong kempen itu.

"Saya harap masyarakat India menggunakan peluang ini untuk mendaftarkan diri untuk memohon, sebab kalau sebelum ini kalau borang tidak lengkap permohonan mereka ditolak, tapi menerusi kempen ini kita bantu mereka untuk melengkapkan borang permohonan," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain