suria

Muhyiddin Nafi Kerajaan Tunduk Desakan Berkaitan MBE

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak andaian kononnya kerajaan tunduk kepada bantahan beberapa kumpulan diketuai Perkasa yang menyebabkan Model Baru Ekonomi (MBE) fasa kedua dikurangkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan tetap dengan agenda untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi melalui MBE tetapi pelaksanaannya mengambil kira semua komponen dalam masyarakat termasuk Bumiputera, masyarakat dalam dan luar bandar dan semua sektor ekonomi.

"Tak berbangkit soal pengurangan atau tekanan mana-mana pihak. Bagi kami sebagai kerajaan (MBE) itu adalah baik yang boleh memenuhi tuntutan semua peringkat nak jadi negara maju berpendapatan tinggi pada 2020," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Khamis.

Beberapa media Selasa lalu melaporkan kenyataan anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara Zainal Aznam Mohd Yusof bahawa bantahan keras Perkasa mengenai fasa pertama MBE menyebabkan fasa kedua dikurangkan.

Mengenai perkara lain, Muhyiddin berkata pandangan bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia John R. Malott mengenai negara ini tidak seharusnya diperbesar-besarkan terutama oleh media kerana ia tidak relevan.

"Itu hal dia. Dia bukan ada status apa-apa. Dia bekas duta, tak tahu pun dia tinggal di mana sekarang. Kenapa kita nak besar-besarkan pandangan dia? Dia bukan presiden atau bekas perdana menteri.

"Dia pernah ada di sini tapi dia buat cerita bohong. Mungkin dia sahabat baik dengan Pakatan Rakyat, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim), jadi dia pusinglah cerita," katanya.

Dalam sebuah artikel bertajuk "The Price of Malaysia's Racism" yang dipaparkan di The Wall Street Journal, Malott antara lain mengatakan bahawa ketegangan kaum dan agama lebih tinggi pada masa kini berbanding sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain