suria

Mayat Warga Emas Lembam Ditemui Tinggal Rangka Dalam Longkang

ALOR SETAR: Mayat seorang lelaki warga emas yang tinggal rangka ditemui dalam longkang di Batu 4, Tandop, dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata rangka Beh Kuan Tong, 56, dari Sungai Korok ditemui seorang pekerja pembersihan ketika membersihkan longkang di kawasan itu kira-kira pukul 7.10 petang.

Identiti warga emas lembam itu dikenali daripada kad rawatan pesakit yang ditemui dalam bajunya.

Polis yakin kematian lelaki itu bukan kes pembunuhan namun akan tetap menyiasat punca kematiannya, kata Adzaman yang dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata siasatan polis mendapati lelaki itu disenaraikan sebagai orang hilang yang dilaporkan oleh keluarganya pada September tahun lepas.

Adzaman berkata keluarga lelaki itu yang dipanggil membuat pengecaman di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengesahkan ia adalah mayat Beh.

Katanya ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan bagi mengesahkan rangka itu adalah Beh berdasarkan nama pada kad rawatan pesakitnya. - BERNAMA

Artikel Lain