suria

GAPS Percaya Karpal Ada Bukti Kes Salah Laku Seks Anwar

KUALA LUMPUR: Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) pada Khamis, percaya apa yang didedahkan Pengerusi DAP Karpal Singh pada 1997 bahawa beliau mempunyai bukti mengenai salah laku seks Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah benar.

Pengerusinya Hamizun Khairuddin berkata adalah tidak mungkin Karpal yang mendedahkan perkara itu di persidangan Dewan Rakyat berbohong pada waktu itu yang beliau mempunyai bukti penglibatan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam aktiviti salah laku seks.

"Itulah sebabnya Anwar berbaik dengan Karpal dan DAP (mengelakkan dari didedahkan). Sebab itu juga Anwar terpaksa ikut telunjuk DAP yang mana Anwar sebagai konduktor muziknya manakala lirik lagunya ditulis oleh DAP," kata bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor kepada Bernama di sini, Khamis.

Beliau berkata hubungan itu turut dicerminkan dalam kerajaan negeri Selangor di mana satu pihak menjadi konduktor muzik, dan satu lagi menulis lirik, dakwanya.

Mengulas mengenai kenyataan Bekas Exco AMK, Zamil Ibrahim dalam akhbar hari ini yang mempersoalkan kemampuan kewangan Anwar dan siapa yang menajanya ke luar negara dan tinggal di hotel-hotel mewah, Hamizun mendakwa sumber kewangan Anwar mungkin diperolehi daripada pelabur luar yang melabur di negeri-negeri dikuasai oleh pakatan DAP-PKR-PAS. - BERNAMA

Artikel Lain