suria

Menteri Arah Siasat Rambut Pelatih Sikh 'Dipotong'

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan arahan supaya siasatan dijalankan terhadap dakwaan pelatih khidmat negara Sikh bahawa rambutnya telah dipotong ketika tidur di Kem Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata pasukan penyiasat dari jabatan itu akan dihantar bagi mengendalikan siasatan yang mengambil masa lebih kurang dua minggu.

"Kementerian dan jabatan memandang serius terhadap masalah melibatkan kepercayaan pelatih dan memastikan semua pelatih dan staf sedar akan keperluan agama dan budaya masing-masing," katanya.

Abdul Hadi berkata, pelatih Basant Singh, 17, ditemani bapanya Surinderpal Singh telah membuat laporan terhadap insiden kepada Komandan Kem Mejar Shamsudin Abdul Aziz pukul 3 petang Ahad lepas.

Mereka turut membuat laporan polis.

"Tetapi Basant tidak dapat menunjukkan bukti yang menunjukkan rambutnya telah dipotong.

"Ketika memeriksa tempat tidurnya, tiada rambut atau objek tajam ditemui," katanya pada sidang media yang diadakan pada Selasa.

Basant berkata dia trauma dengan insiden yang melibatkan agama yang mana memelihara rambut adalah simbol agama yang penting dalam agama Sikh.

"Saya tidur pada Ahad malam. Apabila saya bangun keesokan paginya, saya menyedari rambut saya telah dipotong ketika saya mahu mengikatnya," katanya.

Rambut Basant yang mencecah pinggang dikatakan dipotong kira-kira 50cm.

Katanya, komandan kem telah memberikan cuti sehingga 23 Januari tetapi dia enggan kembali ke kem.

Bapanya berkata, insiden tersebut telah melanggar hak penganut agama Sikh.

"Saya telah mengajar dia supaya memelihara rambut sejak kecil lagi," katanya. - The Star

Artikel Berikut

Artikel Lain