suria

Rosmah Terima Darjah Kebesaran Datuk Amar Bintang Kenyalang

KUCHING: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Ahad menerima darjah kebesaran Datuk Amar Bintang Kenyalang yang membawa gelaran 'Datuk Amar' daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Penganugerahan darjah kebesaran itu berlangsung dalam majlis ringkas penuh istiadat di Bilik Istiadat, Astana di Petra Jaya.

Rosmah adalah penerima tunggal darjah kebesaran itu sempena ulang tahun ke-89 Yang Dipertua Negeri pada 16 Oktober tahun lepas, bagaimanapun beliau tidak dapat menghadiri upacara penganugerahan kerana ada urusan rasmi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, menteri-menteri Kabinet negeri, ketua-ketua jabatan dan ketua kaum menghadiri upacara tersebut.

Rosmah berada di Sarawak untuk mengiringi Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi ke Sarawak selama dua hari mulai Sabtu. - BERNAMA

Artikel Lain