Dua Warga Myanmar Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh - Semasa | mStar

Dua Warga Myanmar Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh

MELAKA: Dua wanita warga Myanmar berusia sekitar 30-an, ditemui mati dipercayai dibunuh di dalam rumah di Taman Malim Permai dekat sini, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan pukul 2.15 petang, menemui mayat isteri kepada tuan rumah itu di ruang tamu manakala mayat pembantu rumahnya di ruang dapur.

"Anak wanita itu yang berumur enam bulan ditemui di sebuah bilik di tingkat atas rumah itu, tidak dicederakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah itu.

Beliau berkata semasa kejadian suami wanita itu yang dipercayai seorang peniaga rakyat Myanmar tiada di rumah, dan menurutnya kematian kedua-dua wanita itu disedari oleh adik kepada wanita tuan rumah itu yang datang ke rumah tersebut tengah hari tadi.

Katanya siasatan awal polis mendapati berlaku pergaduhan dalam rumah itu sebaik sahaja dua lelaki memasuki rumah tersebut pagi tadi.

Raja Shahrom berkata sebilah pisau dan satu penukul yang dipercayai digunakan dalam insiden itu ditemui di tempat kejadian, dan polis sedang menyiasat sekiranya ada barang berharga yang hilang dari rumah itu.

"Motif pembunuhan sedang disiasat dan belum ada tangkapan dibuat setakat ini. Siasatan dibuat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata mayat kedua-dua wanita itu dihantar ke Hospital Melaka di sini, untuk bedah siasat.

Seorang jiran, Wan Choyow berkata kira-kira pukul 11.30 pagi tadi beliau mendengar berlaku pergaduhan dari dalam rumah itu dan kemudiannya beliau melihat dua lelaki keluar meninggalkan rumah berkenaan.

"Saya tidak mengesyaki suatu yang buruk berlaku sehingga seorang adik wanita itu yang datang ke rumah tersebut memberitahu yang dua wanita itu sudah mati," katanya.

Wan yang mengenali wanita itu sejak enam tahun lepas berkata jirannya itu mempunyai sebuah restoran di Melaka Sentral di sini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Kronologi Proses Mengundi DUN Tenang

default image

Keputusan Awal: Undi Pos BN Dahului PAS

Artikel Lain