suria

Butik Pengantin Terbakar, Kejadian Keempat Dalam Dua Minggu

KUALA LUMPUR: Sebuah lagi butik pengantin terbakar pagi ini, dipercayai angkara perbuatan khianat, selepas tiga kes yang sama dilaporkan dalam tempoh dua minggu lepas di SS2, Petaling Jaya.

Kebakaran berlaku di ruang tamu butik dua tingkat itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM500,000 apabila hampir keseluruhan barang-barang perkahwinan dalam butik itu musnah.

Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Damansara Sulaiman Shamsuddin berkata bomba menerima panggilan pada pukul 5.34 pagi dan satu jentera dengan tujuh anggota mengambil masa 10 minit untuk memadamkan kebakaran.

"Unit forensik bomba turut ke tempat kejadian bagi mengenalpasti punca kebakaran," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Sementara itu Ketua Polis Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata siasatan terperinci akan dijalankan mengenai kebakaran itu memandangkan terdapat tiga lagi kejadian yang sama melibatkan butik pengantin di kawasan berkenaan.

"Polis tidak menolak kemungkinan ada perbuatan khianat dalam kejadian ini. Ia boleh jadi ada persaingan dalam perniagaan. Kegiatan ini mungkin didalangi oleh suspek yang sama dengan kejadian kebakaran yang berlaku dalam tempoh dua minggu ini," katanya ketika dihubungi di sini Selasa.

Turut ditemui kira-kira 60 meter dari butik itu ialah sebuah kotak berisi barang-barang dari butik terbabit yang dipercayai dilarikan oleh suspek. -BERNAMA

Artikel Lain